KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, 27 Ogos 2026, menjadi tumpuan pengamal media dan orang ramai apabila tiga bekas Perdana Menteri hadir bagi menghadiri prosiding mahkamah dalam kes berasingan.
Tiga bekas pemimpin negara berkenaan ialah Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Datuk Seri Najib Razak menghadiri perbicaraan pendengaran kes saman sivil USD5.64 bilion yang difailkan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya berhubung dakwaan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa, serta penyelewengan dana. Perbicaraan diteruskan dengan keterangan saksi bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
"Di Mahkamah Tinggi berasingan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan perbicaraan menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan suapan RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa," menurut Bernama.
Ismail Sabri Dijangka Dituduh Kes Pengisytiharan Harta
Sementara itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berhubung pengisytiharan harta.
Prosiding pertuduhan ke atas beliau sepatutnya berlangsung pada 7 Ogos lalu namun ditangguhkan selepas Ismail Sabri dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani prosedur pemasangan perentak jantung.
Sebelum ini, SPRM telah menyita wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan kediaman serta pejabat dipercayai "rumah selamat".
Sumber: BERNAMA
Back