MUKAH - Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan selepas dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah dalam Ops Tapis Khas semalam, 25 Ogos 2026.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Bin Alias memaklumkan, serbuan dijalankan di kawasan luar pondok pengawal sebuah syarikat perladangan di Jalan Mukah-Balingian kira-kira jam 5.00 petang.
Semasa serbuan, suspek pertama berusia 57 tahun yang tidak bekerja telah ditahan di bahagian belakang pondok pengawal. Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyimpan satu keratan tiub straw plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 0.45 gram.
"Suspek pertama didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine serta mempunyai lima rekod kesalahan lampau berkaitan dadah. Suspek kini direman selama dua hari sehingga 28 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya menerusi kenyataan media.
Dua Lagi Suspek Positif Ujian Urin
Dalam operasi sama, polis turut menahan suspek kedua berusia 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai, dan suspek ketiga berusia 37 tahun yang berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di hadapan pondok pengawal berkenaan.
Walaupun pemeriksaan badan ke atas kedua-dua suspek tidak menjumpai barang salah, ujian saringan urin mengesahkan mereka positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Semakan lanjut mendapati suspek kedua mempunyai satu rekod kesalahan lampau dadah, manakala suspek ketiga mempunyai dua rekod lampau. Kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tarikh pendakwaan.
Pihak IPD Mukah menegaskan komitmen tinggi dalam membanteras kegiatan dadah dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi talian hotline IPD Mukah di 084-871222.
Sumber: Kenyataan Media KPD Mukah (26 Ogos 2026)
Back