PUTRAJAYA - Urusan cetakan MyKad di seluruh negara dijangka mengalami gangguan sementara bermula hari ini, Rabu (26 Ogos) sehingga Isnin (31 Ogos).
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan, tindakan ini diambil berikutan pelaksanaan proses peralihan daripada struktur MyKad sedia ada kepada kad pengenalan generasi baharu.
Sehubungan itu, pihak JPN menasihatkan orang awam yang tidak mempunyai keperluan mendesak supaya menangguhkan seketika sebarang permohonan penukaran atau penggantian MyKad sepanjang tempoh penambahbaikan tersebut berlangsung.
"Bagi permohonan MyKad kali pertama untuk kanak-kanak berusia 12 tahun, ibu bapa atau penjaga juga digalakkan menunggu seketika bagi membolehkan anak menerima MyKad generasi baharu apabila pengeluarannya bermula dalam masa terdekat," mengikut kenyataan rasmi JPN.
JPN Mohon Maaf Atas Kesulitan
Pihak JPN turut menghargai kesabaran serta kerjasama orang ramai sepanjang tempoh peralihan sistem ini.
Pengurusan JPN turut memohon maaf atas sebarang kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh orang ramai sepanjang tempoh gangguan berkenaan.
Sumber: BERNAMA
Back