KUCHING - Tanaman buluh yang sinonim dengan kehidupan tradisional masyarakat Sarawak kini berpotensi berkembang sebagai sumber ekonomi baharu menerusi pelbagai produk bernilai tambah tinggi.
Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka), Datuk Zainal Abidin Abdullah memaklumkan, pihaknya mahu menggalakkan penglibatan komuniti terutamanya pemilik tanah yang mempunyai kawasan terbiar untuk menceburi industri ini.
Sebagai permulaan, Pusaka menyediakan 400 anak benih buluh secara percuma bagi penanaman seluas satu hektar, serta memberikan bimbingan teknikal di lapangan.
"Apabila buluh yang ditanam mencapai tempoh matang, hasil tersebut akan dibeli semula untuk diproses oleh pemain industri hiliran mengikut jenis produk yang dihasilkan. Pendekatan ini mewujudkan sumber pendapatan baharu menerusi rantaian industri buluh," katanya.
Inovasi Produk Hiliran & Projek Percubaan
Pusaka kini sedang menerokai penghasilan tepung daripada rebung buluh untuk pembuatan kek dan pastri dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Selain makanan, spesies berserat tinggi seperti buluh betung amat berpotensi dijadikan pelet biojisim bagi penjanaan tenaga.
Bagi mengenal pasti kesesuaian tanaman, kawasan seluas 50 hektar di Hutan Simpan Sabal, Simunjan dijadikan tapak percubaan dengan 22 spesies buluh ditanam, termasuk dari China, Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia.
Pusaka turut mengenalpasti ladang hutan di Bintulu dan Miri yang berpotensi menyumbang penanaman melebihi 20,000 hektar, selari dengan sasaran negeri meletakkan 30,000 hektar tanaman buluh menjelang 2030.
Bagi memperkenalkan potensi ekonomi ini, Pusaka akan menganjurkan Hari Buluh Sarawak pada 18 hingga 20 September depan.
Sumber: BERNAMA
Back