JAKARTA – Pemeteraian perjanjian promosi silang antara Kumpulan AFFIN dan PT Bank Central Asia Tbk (BCA) dari Indonesia hari ini, bakal menawarkan pelbagai manfaat kepada pemegang kad kredit kedua-dua bank.
AFFIN dalam kenyataannya memaklumkan, perjanjian strategik itu menawarkan nilai tambah dan keistimewaan gaya hidup eksklusif kepada pelanggan masing-masing.
Antara manfaat yang ditawarkan termasuk diskaun eksklusif, hadiah percuma dan akses keutamaan bagi pelbagai pengalaman gaya hidup seperti konsert, hotel dan restoran.
Di bawah kerjasama itu, pemegang kad kredit kedua-dua bank akan menikmati manfaat istimewa apabila melakukan transaksi di premis pedagang yang ditetapkan oleh kedua-dua bank.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah menyifatkan kerjasama itu sebagai permulaan kepada usaha strategik yang menghubungkan Malaysia dan Indonesia.
Kerjasama itu akan terus diperkembangkan, bagi membolehkan AFFIN dan BCA membangunkan produk serta perkhidmatan bernilai tambah yang lebih baik untuk pelanggan di kedua-dua pasaran.
Sementara itu, Presiden Pengarah BCA, Hendra Lembong berkata, kerjasama strategik itu mencerminkan visi bank berkenaan untuk mewujudkan ekosistem perbankan ASEAN yang lebih bersepadu.
Menurutnya, kerjasama itu memberikan akses lebih mudah kepada keistimewaan gaya hidup dan perkhidmatan, sekali gus meningkatkan pengalaman keseluruhan pelanggan.
Kedua-dua pihak akan menyelaras pelaksanaan program promosi silang itu melalui penerbitan bahan promosi menerusi saluran media rasmi masing-masing.
Butiran mengenai pedagang yang terlibat, mekanisme tawaran dan kelayakan pelanggan akan diumumkan secara berperingkat menerusi saluran rasmi AFFIN selepas dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.
Kempen eksklusif itu akan bermula secara rasmi hari ini, 20 Ogos 2026.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back