MIRI - Sebanyak 20 keping saman telah dikeluarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri menerusi Operasi Khas 'Op Mabuk' yang dijalankan bermula malam Rabu, 12 Ogos 2026.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, operasi yang berlangsung dari jam 11.00 malam hingga 3.00 pagi itu memfokuskan kawalan keselamatan di sepanjang Jalan Miri-Airport bagi membanteras pemanduan di bawah pengaruh alkohol serta kesalahan lalu lintas lain.
122 Individu Dan 101 Kenderaan Diperiksa
Siri pemeriksaan berkenaan melibatkan seramai 122 individu (83 lelaki dan 39 perempuan) serta 101 buah kenderaan.
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan teknikal dan perundangan telah dikesan merangkumi memandu tanpa lesen, pengubahsuaian ekzos kenderaan, cukai jalan tamat tempoh, dan kegagalan mempamerkan pelekat lesen 'P'.
"Dalam operasi tersebut, seorang suspek lelaki tempatan berumur 23 tahun telah ditahan kerana disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol. Ujian pernafasan awal menggunakan alat Screening Device 2 (SD2) mengesahkan suspek mengandungi alkohol dalam badan, dan sampel darah telah diambil di Jabatan Forensik Hospital Miri untuk analisis lanjut," jelas ACP Mohd Farhan.
Hukuman Berat Menanti Pemandu Mabuk
Siasatan terhadap suspek dijalankan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika disabitkan kesalahan, pemandu berdepan dengan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM30,000, penjara maksimum dua tahun, serta hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun bagi kesalahan pertama.
Pihak polis menegaskan bahawa tidak akan ada sebarang kompromi terhadap mana-mana pemandu atau penunggang yang membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya yang lain akibat pengaruh alkohol.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kesalahan trafik di kawasan Miri diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Miri atau balai polis yang berhampiran.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Polis Daerah Miri
Back