KUCHING — Seramai 120 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai menerima insentif pendidikan hari ini, sebagai penghargaan atas kejayaan mereka melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT).
Kesemua penerima diraikan dalam satu majlis khas di Kuching yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Agensi Pembangunan Wilayah, Hal Ehwal Islam dan DBKU) merangkap ADUN Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Berucap pada majlis tersebut beliau berkata, penyerahan insentif berkenaan diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa kemasukan ke IPT merupakan permulaan kepada satu fasa baharu dalam menimba ilmu yang perlu dilalui dengan penuh komitmen, dedikasi dan kesungguhan.
Katanya, usaha melahirkan lebih ramai cendekiawan serta pakar dalam kalangan anak tempatan amat penting bagi memenuhi keperluan tenaga mahir dan merebut pelbagai peluang kerjaya berimpak tinggi yang sedang diwujudkan oleh Kerajaan Sarawak.
Sehubungan itu beliau berharap, inisiatif tersebut dapat menjadi suntikan motivasi dan sokongan moral kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.
Beliau turut menyeru peranan ibu bapa untuk terus memberi sokongan dan dorongan sepanjang perjalanan akademik anak-anak, supaya menjadi inspirasi kepada generasi muda yang lain.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan <span;>pelajar yang berkemampuan, untuk meneruskan pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang masing-masing, pada masa akan datang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back