KUCHING - Kepelbagaian kandungan di platform digital hari ini mencerminkan dinamik kebebasan ekspresi yang tidak boleh disekat.
Ia sekali gus menuntut para penggiat media dan pencipta kandungan tempatan untuk berani keluar dari zon selesa masing-masing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, dalam era digital yang serba terbuka, kebebasan ekspresi menyaksikan tiada penanda aras mutlak tentang perkara yang betul atau salah.
Hal itu kerana ia bergantung sepenuhnya kepada konteks dan kategori kandungan yang dihasilkan.
Menurut beliau, masyarakat dan penggiat media hari ini tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada pelbagai jenis kandungan, termasuk yang kurang disenangi atau mengejutkan.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan agar fenomena serta kepelbagaian ragam manusia di media sosial itu tidak diabaikan, sebaliknya dijadikan ikhtibar dan panduan untuk memperbaharui pendekatan penceritaan.
Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai fenomena pencipta kandungan media sosial, beliau menyifatkan perkembangan tersebut sebagai satu trend positif dalam memupuk kreativiti dalam kalangan generasi muda yang kini mendominasi landskap digital.
Beliau menzahirkan kebanggaan terhadap mutu kandungan di Sarawak yang secara keseluruhannya membawa mesej positi.
Beliau turut menyatakan komitmen kerajaan untuk terus memberikan bimbingan serta merangka polisi yang sesuai di peringkat akar umbi.
Jelas beliau, pemahaman terhadap kehendak serta selera masyarakat amat penting bagi membolehkan pihak kerajaan menyalurkan bentuk bantuan dan polisi yang berkesan demi menyokong pertumbuhan ekonomi kreatif tempatan.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual khas sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-30 CATS FM di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back