BAU - Polis mengesahkan guru wanita yang ditemui meninggal dunia di tandas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau pagi semalam, 5 Ogos 2026, dikenali sebagai Wong Lee Choo, berusia 54 tahun.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, mangsa merupakan guru mata pelajaran Sains dan Biologi yang telah berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 25 tahun lepas.
Kronologi Penemuan Mangsa
Pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian berkenaan pada jam 8.53 pagi sebelum mengerakkan anggota ke lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa kali terakhir dilihat berada di bilik guru pada jam 8.15 pagi apabila beliau memaklumkan kepada rakan setugas untuk pergi ke tandas.
Kira-kira 20 minit kemudian, rakan setugas menyedari mangsa masih belum hadir ke kelas untuk sesi pengajaran mengikut jadual. Bertindak atas kesedaran itu, rakan setugas telah pergi mencari mangsa di tandas guru wanita sebelum menemui mangsa dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di atas lantai.
Pengesahan Pegawai Perubatan
Bantuan perubatan segera dihubungi, namun pegawai perubatan dari Hospital Bau yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada jam 9.08 pagi.
"Pemeriksaan awal yang dijalankan pihak polis di lokasi mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan atau unsur-unsur jenayah pada tubuh mangsa. Mayat telah dibawa ke Hospital Bau dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat," kata Mohd Haide dalam satu kenyataan media.
Sumber: BERNAMA
Back