KUCHING - Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen berterusan untuk terus mendesak pelaksanaan autonomi kesihatan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya bagi menangani isu kelemahan infrastruktur dan krisis kekurangan tenaga kerja perubatan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian memaklumkan bahawa autonomi kesihatan untuk Sarawak masih disifatkan sebagai "perjalanan yang panjang" walaupun perkara itu dimasukkan dalam senarai perkara yang diselesaikan secara sebahagian di peringkat rundingan MA63.
Penurunan Kuasa Eksekutif Dan Penyaluran Dana
Menurut Dr Sim, keutamaan utama Sarawak ketika ini adalah untuk menuntut penyerahan kuasa atau decentralisation bagi fungsi statutori dan eksekutif secara terus daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
"Kuasa untuk merancang, membina, mentadbir perjawatan, menyelenggara serta menaik naik hospital, klinik dan fasiliti kesihatan awam — termasuk makmal serta institusi latihan doktor dan jururawat — sepatutnya diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama peruntukan kewangan yang lengkap," tegas beliau.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di Facebook rasminya, selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) Bilangan 2 Tahun 2026 di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud.
Kekosongan 5,844 Perjawatan Dan Impak Kepada Petugas
Mengulas lanjut mengenai aspek sumber manusia, Dr Sim mendedahkan bahawa daripada 31,517 keseluruhan perjawatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, sebanyak 5,844 jawatan (18.5 peratus) masih kekal kosong. Jumlah kekosongan itu membabitkan 1,257 pegawai perubatan dan 1,224 jururawat.
Keadaan ini menyaksikan para doktor dan jururawat sedia ada di Sarawak terpaksa menanggung kelebihan beban kerja kira-kira 20 peratus bagi menampung kekosongan yang ada.
Tambah beliau, audit tenaga kerja KKM pada tahun 2025 menunjukkan sekurang-kurangnya 11,000 perjawatan baharu perlu diwujudkan bagi menyokong operasi tujuh hospital sedia ada, manakala 21 hospital dan 259 klinik di Sarawak masih belum diaudit.
RM16 Bilion Diperlukan Untuk Baik Pulih Fasiliti Daif
Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak telah menyampaikan permohonan rasmi kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan bahawa kira-kira RM16 bilion diperlukan untuk menaik naik klinik dan hospital daif di seluruh Sarawak.
Langkah ini disifatkan amat penting bagi memastikan infrastruktur perubatan Sarawak bersiap sedia mendepani cabaran penuaan penduduk menjelang tahun 2030.
Sejak 2016, Sarawak telah mengemukakan 21 isu tuntutan MA63 dengan 10 daripadanya berjaya diselesaikan, termasuk pengambilalihan hak milik Pelabuhan Bintulu baru-baru ini.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Dr Sim Kui Hian
Back