KUCHING – Persatuan Skuasy Kuching (SAK) bakal menganjurkan Kuching Squash Invitational 2026, sebagai usaha memperkukuh pembangunan bakat muda dalam sukan skuasy di Sarawak.
Kejohanan tersebut dijadual akan berlangsung dari 4 hingga 6 September depan di Gelanggang Skuasy Sarawak Club, Kuching.
Pengerusi kejohanan, Shukat Khan berkata, penganjurannya menjadi platform penting untuk mencungkil dan mengembangkan bakat baharu, terutama dalam kalangan pemain muda Sarawak.
Menurut beliau, kejohanan berkenaan dijangka menghimpunkan antara 70 hingga 100 peserta dari seluruh negeri ini, melibatkan penyertaan daripada sekolah dan kelab skuasy.
Sebanyak 10 kategori mengikut peringkat umur akan dipertandingkan, dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM10,000.
Beliau berkata, kejohanan itu dibuka khusus kepada pemain dari Sarawak bagi memberi lebih banyak peluang kepada bakat tempatan untuk bersaing, menimba pengalaman serta meningkatkan tahap permainan masing-masing.
Jelasnya, penyertaan dalam kejohanan seumpama itu menjadi landasan terbaik untuk mereka melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada masa sama, beliau berharap usaha berterusan melalui penganjuran kejohanan seumpama itu mampu melahirkan lebih ramai atlet skuasy bertaraf dunia dari Sarawak yang mampu mengikut jejak legenda skuasy negara seperti Datuk Nicol David dan Azlan Iskandar.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kuching Squash Invitational 2026 di Kuching, hari ini.
#BilikBerita CATS #CATSFM #Umobile
Back