BETONG - Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelan pembangunan menyeluruh bagi memajukan tanah milik Kerajaan Persekutuan di wilayah ini yang bakal dikembalikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pelan berkenaan merangkumi projek perumahan terancang, naiktaraf infrastruktur jalan raya serta pembangunan sektor pertanian berimpak tinggi.
Peruntukan RM1.5 Bilion Demi Kesejahteraan Rakyat
Persetujuan pengembalian tanah strategik yang tidak dibangunkan dalam tempoh lima tahun ini dicapai menerusi rundingan Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, Kerajaan Sarawak menyediakan dana RM1.5 bilion bagi memastikan tanah tersebut dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
"Pertama ialah rumah panjang di kawasan tersebut terlalu padat dan jalannya tidak begitu baik. Dari sudut industri pertanian juga boleh dibangunkan. Rancangan telah dikemukakan oleh Agensi Pembangunan Mid Rajang (MiRRDA) yang dipengerusikan Dato Sri Aaron Ago Dagang bersama bekas Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion selaku ahli ekonomi," kata beliau.
Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong, hari ini 1 Ogos 2026.
Eksport Tilapia Batang Ai & Sokongan STOLport Bebuling
Dalam perkembangan sama, Abang Johari memuji pencapaian Zon Tengah yang terus maju dalam pemodenan sektor pertanian dan teknologi.
Antara kejayaan utama ialah keupayaan mengeksport ikan tilapia dari Batang Ai ke Singapura, yang membuktikan potensi besar sektor agromakanan negeri.
Kehadiran Lapangan Terbang Bebuling (STOLport) dan jaringan jalan raya yang dipertingkat dijangka memantapkan rantaian bekalan logistik bagi meluaskan pasaran pasaran eksport hasil tempatan ke luar negara.
Sumber: Laman Facebook Rasmi Unit Komunikasi Awam Sarawak
Back