BAU: Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 27 hingga 30 tahun ditahan polis selepas didapati positif dadah dalam satu operasi di tepi Jalan Kampung Opar, Bau, pagi tadi, 31 Julai 2026.
Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau bersama anggota IPD Bau antara jam 11.00 pagi hingga 11.30 pagi.
Keputusan Saringan Uren Positif
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd Haide bin A. Rahman berkata, penahanan dibuat berikutan syak wasangka penglibatan kedua-dua individu tersebut dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif dadah. Mereka kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Amaran Tegas PDRM & Saluran Aduan
Pihak PDRM menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dengan penyalahgunaan atau pengedaran dadah di Daerah Bau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah digalakkan untuk menyalurkannya menerusi Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
Sumber: Kenyataan Media Ketua IPD Bau
Back