SPAOH - Pembukaan Jambatan Sungai Paku kepada lalu lintas hari ini, 31 Julai 2026, menjadi mercu tanda baharu dalam usaha memperkukuh jaringan infrastruktur di Daerah Kecil Spaoh.
Projek bernilai RM36.9 juta itu bukan sahaja mempermudah mobiliti penduduk, malah bakal membuka pelbagai peluang baharu dari aspek pembangunan ekonomi dan sektor pelancongan setempat.
Selesai Masalah Kesesakan Jambatan Lama
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan baharu ini telah lama didambakan oleh penduduk kerana dapat merungkaikan masalah laluan sempit yang sebelum ini memerlukan sistem 'berhenti dan beri laluan'.
“Kini perjalanan menjadi lebih lancar, lebih selamat dan lebih selesa. Malah, kenderaan berat juga boleh menggunakan laluan ini tanpa perlu melalui jalan alternatif yang lebih jauh,” kata beliau ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Jambatan Sungai Paku.
Potensi Pelancongan Dan Naiktaraf Waterfront
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban itu menambah, projek berkenaan turut merangkumi rancangan integrasi komuniti di mana struktur jambatan lama akan dinaik taraf sebagai laluan pejalan kaki.
Langkah itu bakal dilengkapkan dengan pembangunan kawasan tebingan baharu sebagai ruang rekreasi awam yang akan memacu potensi pelancongan tempatan.
Dilaksanakan oleh D.A.L Keluarga Sdn Bhd, binaan jambatan gerbang keluli satu bentang sepanjang 100 meter ini merangkumi kerja pelebaran jalan pendekat, tembok perlindungan tebing sungai serta pemasangan utiliti.
Ia memberi manfaat secara langsung kepada pengguna Jalan Tanjung Sebekut serta penduduk di sekitar Spaoh, Betong, Debak dan Pusa.
Sumber: fb Douglas Uggah Embas
Back