KUCHING - Keputusan Kerajaan Persekutuan menyerahkan hak milik tapak Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) kepada Kerajaan Sarawak bakal mempercepat pelaksanaan projek pembangunan di kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) RASCOM.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, penyerahan ini membuka ruang luas kepada Kerajaan Sarawak untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan penduduk.
Tiga Kawasan SPS RASCOM Dalam DUN Ngemah
Beliau menjelaskan bahawa tiga daripada empat kawasan SPS RASCOM yang terlibat dalam penyerahan hak milik tersebut terletak secara langsung dalam kawasan DUN Ngemah, iaitu SPS RASCOM Nanga Jagau, SPS RASCOM Nanga Ngungun, dan SPS RASCOM Nanga Tada.
"Keputusan ini merupakan satu langkah yang amat bermakna dan bersejarah, bukan sahaja sebagai manifestasi semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, malah sebagai bukti bahawa aspirasi rakyat Sarawak terus diberi perhatian selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," tegas beliau dalam kenyataan di Facebook rasmi Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ngemah hari ini, 31 Julai 2026.
Peluang Ekonomi Dan Kemudahan Asas Lebih Menyeluruh
Dengan hak milik tapak kini berada di bawah pentadbiran Kerajaan Sarawak, pelbagai perancangan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Fokus utama merangkumi penyediaan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik, rangkaian telekomunikasi, kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan serta fasiliti awam yang lain.
Pembangunan yang terancang ini dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, seterusnya membuka peluang pekerjaan serta pendidikan bagi memastikan generasi muda dapat meningkatkan taraf hidup tanpa perlu berhijrah dari kampung halaman.
Anyi turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan penyerahan ini, di samping memuji komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperjuangkan hak negeri dan mempercepat agenda pembangunan luar bandar.
Sumber: fb Pusat Khidmat Masyarakat ADUN N.49 Ngemah
Back