SIBU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak menerusi JPJ Cawangan Sibu dan Stesen Penguatkuasa (SP) Stapang telah menggempur Jalan Tunku Abdul Rahman dalam satu Ops Rentas Agensi.
Operasi bersepadu yang dijalankan pada 29 Julai 2026 itu turut mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sibu bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang lalu lintas.
153 Notis Dikeluarkan, Tiga Kenderaan Disita
Sepanjang operasi berlangsung, sebanyak 612 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa oleh pihak penguat kuasa.
Hasil pemeriksaan membawa kepada pengeluaran 153 notis ketidakakuran atas pelbagai kesalahan. Antara kesalahan utama yang dikesan merangkumi penggunaan lampu HID/LED yang tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar dan kesalahan teknikal kenderaan.
"Selain pengeluaran notis, pihak JPJ turut menyita sebuah motokar dan dua buah motosikal susulan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta ketiadaan perlindungan insurans," jelas kenyataan JPJ Sarawak di Facebook rasminya hari ini 30 Julai 2026.
Enam Individu Termasuk Pemandu Lori Positif Dadah
Dalam operasi yang sama, pihak AADK Sibu telah menjalankan ujian saringan air kencing ke atas 28 individu yang mencurigakan.
Hasil ujian mengesahkan enam daripadanya positif dadah jenis methamphetamine. Individu terbabit melibatkan seorang pemandu lori, dua kelindan lori, seorang penunggang motosikal serta dua pemandu motokar, dan tindakan susulan telah diambil mengikut peruntukan undang-undang AADK. Sementara itu, LPKP Sibu melaporkan tiada sebarang kesalahan dikesan di bawah bidang kuasa mereka.
JPJ Sarawak merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dan menegaskan kerjasama strategik ini akan diteruskan demi membanteras salah guna dadah serta menjamin keselamatan pengguna jalan raya di Sarawak.
Sumber: fb JPJ Negeri Sarawak
Back