KUCHING - Warga Sarawak bakal merasai kehangatan acara padang paling ikonik di Malaysia menerusi penganjuran Karnival Jom Heboh (KJH) Sarawak Segulai Sejalai 2026 yang berlangsung di Kota Samarahan.
Karnival yang memasuki penganjuran tahun ke-23 serta diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai "Longest Running Outdoor Carnival" itu diadakan di Pekarangan Sebelah Majlis Perbandaran Kota Samarahan selama tiga hari berturut-turut bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.
Kerjasama Strategik MTCP & Pelbagai Aktiviti Menarik
KJH Sarawak 2026 dianjurkan dengan kerjasama strategik Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).
Penganjuran ini memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi dengan agensi kerajaan di samping menikmati reruai usahawan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta jenama korporat popular.
Pelbagai aktiviti kekeluargaan telah disusun merangkumi Pertandingan Karaoke Drama Sangat, Buletin Challenge, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, Zumba Challenge, serta Dunia Kreatif NSTP yang menyediakan Photobooth Muka Depan Muka Surat dan e-sukan.
Jom Heboh Fun Run & Love Food Fest
Bagi penggemar aktiviti sihat, Jom Heboh Fun Run kembali buat edisi kedua dengan liputan kategori 5KM dan 8KM, termasuk penawaran Pakej Keluarga.
Peserta berpeluang membawa pulang pingat finisher eksklusif, jersi rasmi, serta menyertai cabutan bertuah bersama selebriti jemputan.
Di samping itu, zon gaya hidup Love Food Fest bakal menghimpunkan pelbagai vendor makanan viral tempatan untuk dinikmati seisi keluarga.
Barisan Artis Pentas Konsert Jom Heboh
Kemuncak kehangatan karnival dimeriahkan dengan pentas Konsert Jom Heboh pada malam Sabtu dan Ahad.
Malam pertama konsert (1 Ogos) menyaksikan persembahan Haiza Hanafi, Mariam Saim, Aepul Roza, Fiq Halim, Aweera dan Kristal X. Manakala malam penutup (2 Ogos) diserikan oleh Baby Shima, Wany Hasrita, K.O.I, Syamel serta Marsha Milan.
Dengan sasaran lebih 300,000 pengunjung, Karnival Jom Heboh Sarawak 2026 menjanjikan gabungan hiburan, perkhidmatan rakyat, dan amalan gaya hidup mampan buat seluruh komuniti.
Sumber: Kenyataan Media Media Prima Omnia
Back