KUCHING – Pelancaran tayangan perdana dokumentari 'The Human Odyssey' terbitan TVS disifatkan sebagai langkah strategik dalam merapatkan jurang kefahaman sejarah, terutama dalam kalangan generasi muda Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha memelihara warisan sejarah perlu diteruskan secara konsisten menerusi penyampaian yang berkesan dan mudah diakses oleh generasi muda.
Menurut beliau, platform media visual seperti televisyen memainkan peranan penting dalam menterjemahkan dapatan akademik yang kompleks kepada kandungan yang lebih mudah difahami, relevan dan menarik bagi generasi digital.
Katanya, dokumentari 'The Human Odyssey' bukan sekadar sebuah program hiburan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan visual yang membawa bukti-bukti saintifik berkaitan Gua Niah terus ke ruang tamu masyarakat.
Pendekatan sedemikian amat penting memandangkan lokasi fizikal Gua Niah di Miri yang mungkin tidak berpeluang dikunjungi oleh sebahagian besar rakyat tempatan, khususnya golongan belia.
Sehubungan itu, melalui pendedahan berterusan seperti itu, generasi muda Sarawak diharapkan bukan sahaja dapat mengenali sejarah purba negeri ini, malah membesar dengan rasa bangga serta tanggungjawab untuk memelihara warisan tersebut demi generasi akan datang.
Beliau berkata demikian menerusi ucapannya yang dibacakan oleh wakilnya, Datu Dr Rashidah Bolhassan, pada Majlis Tayangan Perdana Dokumentari 'The Human Odyssey' terbitan TVS di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back