SIBU — Sesi townhall bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, disifatkan sebagai platform terbaik untuk masyarakat mendengar secara terus visi dan misi kepimpinan tertinggi negeri dalam memajukan Sarawak.
Acara yang berlangsung di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) itu telah dihadiri kira-kira 1,000 peserta merentasi pelbagai institusi dan lapisan masyarakat.
Tinjauan wartawan Bilik Berita CATS mendapati rata-rata peserta menzahirkan keterujaan dan memberikan maklum balas positif terhadap sesi perkongsian berkenaan.
Mewakili golongan wanita, Pengerusi Persatuan Ke Arah Perubahan (WOC) Sibu, Rosni Ili, menzahirkan rasa kagum terhadap kepimpinan Premier yang disifatkannya mempunyai rasa tanggungjawab yang amat tinggi.
Menurut beliau, kualiti sedemikian amat bernilai dan sekiranya seseorang pemimpin memilikinya, beliau yakin amanah dapat dijalankan dengan penuh dedikasi.
Dalam pada itu, Rosni turut memuji dasar inklusif di Sarawak yang memberi peluang penglibatan saksama kepada wanita dalam pelbagai bidang.
Beliau turut menyuarakan harapan agar pembangunan sektor pengangkutan awam seperti Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) diperluaskan ke kawasan lain pada masa hadapan.
Ia sekali gus menyaksikan Sarawak mempunyai sistem pengangkutan moden setanding dengan yang terdapat di ibu negara.
Sementara itu, sesi berkenaan turut mendapat reaksi positif daripada golongan pelajar dan belia.
Pelajar Program Asasi Sains UTS, Ajira Bibi Nurhani Ajiraiskandar, menyifatkan inisiatif pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan kerajaan negeri sebagai langkah yang amat bermakna.
Beliau menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuk para pelajar belajar bersungguh-sungguh demi menyumbang semula kepada negeri selepas bergraduat.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan harapan agar beberapa kemudahan pendidikan dapat ditingkatkan pada masa hadapan.
Antaranya termasuk penambahbaikan kemudahan penginapan agar lebih ramai pelajar mendapat tempat di kampus, serta penyediaan kemudahan rangkaian internet yang lebih mantap bagi memudahkan urusan pengajian.
Bagi pelatih GIATMARA Sibu, Luqman Shaidin pula, beliau teruja dapat berhadapan secara langsung dengan Premier yang dilihatnya berkarisma dan berwawasan tinggi.
Beliau optimis bahawa di bawah pentadbiran semasa, Sarawak kini semakin maju dan mampu bersaing secara sihat dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Harapan yang dizahirkan oleh ketiga-tiga individu berkenaan membawa mesej jelas bahawa masih terdapat ruang untuk penambahbaikan pada masa hadapan agar pembangunan Sarawak dilaksanakan secara lebih menyeluruh serta memberikan manfaat kepada seluruh rakyat.
Penganjuran sesi townhall ini bukan sahaja menjadi medan menyuarakan aspirasi rakyat, malah mengukuhkan lagi keyakinan pelbagai lapisan masyarakat terhadap iltizam kerajaan negeri dalam memacu Sarawak ke arah kemajuan yang inklusif dan saksama.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back