KUCHING: Pemain industri tenaga boleh baharu tempatan, Solarvest, menetapkan sasaran lebih agresif untuk memperluas pemasangan sistem tenaga bersih dalam acara berskala besar di Sarawak pada masa hadapan.
Pengurus Solarvest Borneo Cawangan Sarawak, Subrash Singh Sill berkata, langkah itu seiring dengan komitmen syarikat dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri yang kini giat memacu agenda ekonomi hijau dan pembangunan mampan.
Menurut beliau, penglibatan penuh syarikat buat kali pertama sempena Rainforest World Music Festival (RWMF) tahun ini, bertujuan untuk menguasai sebahagian ruang bagi acara besar tersebut.
Menerusi penglibatannya di ‘Green Ruai’, Solarvest menggunakan sistem solar hibrid luar talian grid, yang menjadi satu penanda aras signifikan kepada industri.
Namun, beliau berharap Solarvest akan diberi peluang untuk membuktikan potensi sebenar sumber tenaga hijau ini pada masa hadapan, termasuk untuk menjana kuasa pentas utama festival berkenaan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui wartawan Bilik Berita CATS, pada acara RWMF 2026 di Kuching, semalam.
Dalam pada itu, semasa festival berkenaan, Solarvest berjaya mempamerkan keupayaan teknologi hijau termaju menerusi penajaan sistem solar hibrid berkapasiti 2 kilowatt yang digabungkan bersama storan bateri dan sistem hidrogen.
Sistem inovatif tersebut berfungsi membekalkan tenaga elektrik bersih secara berterusan selama lima hingga enam jam untuk zon tertentu.
Ia termasuk keupayaannya membekalkan tenaga pada waktu malam bersandarkan sistem bateri bersepadu.
Pameran teknologi itu bukan sahaja membuktikan kebolehlaksanaan tenaga hijau dalam mengendalikan acara langsung, malah turut menarik minat tinggi dalam kalangan pengunjung domestik yang mula meninjau peluang pemasangan panel solar di kediaman peribadi mereka.
Melalui edaran bahan rujukan dan risalah interaktif di tapak acara, Solarvest optimis kesedaran masyarakat Sarawak untuk beralih kepada tenaga solar rumah kediaman akan terus meningkat.
Langkah itu sekali gus akan membolehkan pengguna domestik menyumbang semula kepada ekosistem penjanaan elektrik yang lebih lestari di Sarawak.
Back