KAPIT – Proses pengambilalihan kira-kira 5,700 kilometer jalan balak di seluruh Sarawak, membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan infrastruktur luar bandar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu akan meningkatkan jaringan jalan raya di kawasan pedalaman sekali gus menghubungkan lebih banyak penempatan dengan rangkaian jalan utama.
Beliau berkata, jalan-jalan balak yang diambil alih akan dinaik taraf secara berfasa dalam tempoh lima hingga enam tahun.
Menurut beliau, empat rangkaian utama jalan balak yang dikenal pasti melibatkan kawasan Kapit termasuk Baram, Lawas, Limbang dan Sri Aman, dengan keseluruhan jajaran sepanjang kira-kira 5,700 kilometer.
Katanya, projek itu akan dilaksanakan mengikut fasa berdasarkan keutamaan serta peruntukan kewangan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Ujarnya, rakyat tidak boleh menjangkakan keseluruhan jalan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat, kerana projek itu melibatkan jajaran yang sangat panjang serta memerlukan kos yang besar.
Bagaimanapun, kerajaan komited untuk melaksanakannya mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Kapit, hari ini.
Pada majlis yang sama, simbolik penyerahan jalan-jalan balak kepada Kerajaan Sarawak disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Cassidy Morris, kepada Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata, sebaik sahaja kerja-kerja naik taraf selesai dilaksanakan, jalan-jalan tersebut akan disepadukan dengan rangkaian jalan utama serta jalan luar bandar bagi meningkatkan hubungan antara kawasan pedalaman dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi.
Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, proses pemetaan semua jalan balak yang terlibat kini berada pada peringkat akhir sebelum kerja-kerja naik taraf dapat dimulakan.
Terdahulu, pengambilalihan jalan-jalan balak berkenaan telah diumumkan semasa Majlis Pelancaran Projek Jalan Raya Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (3M2L) di Marudi pada tahun lalu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back