KOTA SAMARAHAN – Sesi kemasukan pelajar Pra-Universiti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kali ini, menyaksikan impian dan harapan anak-anak dari kawasan pedalaman terus mekar.
Rata-rata mereka bertekad memanfaatkan peluang pendidikan tinggi untuk mengubah nasib keluarga serta menyumbang kembali kepada masyarakat.
Salah seorang pelajar, Viongina Emya Mandrid, 18, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana berpeluang melanjutkan pengajian sebagai langkah untuk membantu meningkatkan taraf hidup keluarganya melalui pendidikan.
Berasal dari kawasan pedalaman di Lundu, Sarawak, beliau bertekad menimba ilmu dan pengalaman, khususnya dalam bidang perubatan, sesuai dengan cita-citanya untuk menjadi pakar bedah saraf (neurosurgeon).
Viongina yang mengikuti Program Asasi Sains Hayat turut menyeru murid yang masih bersekolah agar memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran, terutama ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurutnya, sebagai pelajar dari kawasan pedalaman, peluang untuk melanjutkan pengajian ke universiti kadangkala dilihat terhad.
Namun, dengan azam yang kuat dan kesungguhan untuk memajukan diri serta keluarga, matlamat tersebut mampu direalisasikan.
Sementara itu, Julies Jayden, 18, dari Kapit turut berkongsi kegembiraan yang sama, walaupun mengakui berasa sedikit gementar untuk memulakan fasa baharu dalam kehidupannya.
Beliau yang mengikuti Program Asasi Sains Fizikal menyifatkan bidang tersebut amat bertepatan dengan minat dan cita-citanya untuk menjadi seorang jurutera.
Anak muda itu berharap dapat mengekalkan disiplin yang tinggi sepanjang pengajian demi mencapai kejayaan pada masa hadapan.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada murid-murid agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.
Bagi seorang lagi pelajar dari Sabah, Muhammad Fauzan Azim Suhaimi, 18, beliau mengakui pada mulanya berasa sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga dan merantau ke negeri lain demi mengejar cita-cita.
Bagaimanapun, anak kelahiran Keningau yang mengikuti Program Asasi Sains Fizikal itu berkata, perasaan tersebut semakin berkurangan apabila beliau mula menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus serta mengenali rakan-rakan baharu.
Fauzan Azim bertekad memberikan komitmen sepenuhnya terhadap pengajian supaya dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, sekali gus merealisasikan impiannya untuk menjadi jurutera elektrik atau guru fizik.
Beliau turut menegaskan bahawa status sebagai anak pedalaman tidak seharusnya menjadi alasan untuk berasa terpinggir.
Sebaliknya, golongan itu perlu berani melangkah keluar daripada zon selesa dan merebut peluang yang tersedia, khususnya dalam bidang pendidikan tinggi.
Kehadiran anak-anak muda dari pelbagai kawasan pedalaman di Borneo ini membuktikan bahawa kekangan geografi bukanlah penghalang untuk menjejakkan kaki ke menara gading.
Semangat juang dan dedikasi yang ditunjukkan mereka diharapkan menjadi inspirasi kepada generasi muda lain untuk terus mengutamakan pendidikan demi masa depan yang lebih cerah dan gemilang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back