BINTULU - Siri jelajah Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Bintulu 2026 membuka tirainya secara rasmi hari ini dengan menyasarkan kehadiran puluhan ribu pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya bertempat di Lasar Kenyalang (Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu).
Karnival rakyat berskala besar yang berlangsung dari 22 hingga 24 Mei ini direka khas sebagai platform sehenti bagi mendekatkan masyarakat wilayah tengah dengan pelbagai jentera perkhidmatan agensi kerajaan, di samping menyediakan aktiviti kebudayaan, keusahawanan, dan hiburan keluarga.
Majlis pra-pelancaran program tersebut telah disempurnakan pagi tadi oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Upacara kemuncak karnival dijadualkan berlangsung esok (Sabtu, 22 Mei) yang bakal dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Seawal hari pertama, pekarangan Lasar Kenyalang mula dibanjiri pengunjung susulan pembukaan zon Bintulu Kitchen & Sales yang memasarkan produk makanan tempatan, serta kaunter perkhidmatan digital dan e-peraduan di bawah khemah utama Sarawak Pavilion.
Antara aktiviti interaktif lain yang turut menarik perhatian komuniti termasuklah sukaneka rakyat, pertandingan mewarna kanak-kanak, serta kuiz warisan makanan Sarawak.
Suasana malam di karnival ini bakal dihangatkan lagi dengan Konsert Rakyat yang menampilkan barisan artis tempatan serta persembahan kebudayaan etnik Bumi Kenyalang.
Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan skrin gergasi pada malam Sabtu bagi tayangan siaran langsung aksi Final Piala Malaysia 2026 yang mempertemukan kelab borneo, Kuching City FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Turut hadir pada majlis pra-pelancaran tersebut ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Felicia Tan Ya Hua; serta Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakkuSayang2026 #SKSBintulu #LasarKenyalang #AbangJohari #FinalPialaMalaysia #KuchingCityFC
Back