BAU - Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Bau berjaya menahan dua lelaki tempatan selepas dikesan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pemilikan dadah dalam dua serbuan berasingan di sini, pada Khamis 21 Mei.
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd Haide bin A. Rahman, mengesahkan tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 9.00 pagi bertempat di kawasan Kampung Bukit Panchur, Bau. Anggota serbuan telah menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan fizikal secara teliti ke atas tubuh badan suspek pertama, pihak polis telah menjumpai satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal putih, dipercayai dadah berbahaya jenis Syabu (Methamphetamine). Suspek kini ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 atas kesalahan memiliki dadah," jelas beliau dalam kenyataan media.
Seterusnya, hasil risikan berterusan di bawah operasi sama, pasukan BSJN Bau bergerak ke lokasi berasingan dan berjaya memberkas suspek kedua, seorang lelaki berusia 27 tahun yang turut disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dadah.
P/Supt Mohd Haide memaklumkan, kesemua suspek kemudiannya dibawa ke pejabat narkotik daerah bagi menjalani ujian saringan awal air kencing.
Hasil ujian makmal mengesahkan kedua-dua lelaki berkenaan positif dadah dan kini ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam badan.
Pihak PDRM menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan narkotik akan terus dipertingkatkan tanpa kompromi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran atau penagihan dadah digesa menyalurkan maklumat terus melalui Hotline JSJN Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDBau #GempurDadahBau #KampungBukitPanchur #Syabu #JSJNSarawak #InfoJenayahSarawak2026
Back