SEBUYAU – Pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 menjadi bukti kemampuan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dalam merealisasikan projek pembangunan strategik demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi, menzahirkan rasa syukur atas pembukaan jambatan berkenaan walaupun ia pernah berdepan pelbagai persoalan dan cabaran pada peringkat awal pelaksanaannya.
Ia termasuk apabila projek jambatan tersebut merupakan antara tiga projek jambatan yang pernah dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan ketika mentadbir negara dahulu.
Bagaimanapun, Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Premier, mengambil pendekatan berani untuk meneruskan projek tersebut demi kepentingan rakyat.
Untuk itu, hari ini menjadi saksi bahawa jambatan itu akhirnya menjadi realiti, malah menjadi antara jambatan yang paling strategik dan terpanjang yang menyeberangi sungai di Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas majlis pra-pelancaran Jambatan Batang Lupar 1 di Sebuyau, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam pembangunan jambatan di Sarawak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back