KUCHING - Dua lelaki tempatan ditahan bersama tiga senjata berbahaya dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di Samariang Commercial Centre, berhampiran tepi jalan Pasaraya Mydin semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek berumur 22 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.00 pagi selepas motosikal dinaiki mereka dikesan dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati tiga senjata berbahaya, manakala ujian air kencing menunjukkan kedua-dua suspek positif dadah.
Semakan turut mendapati seorang daripada mereka mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back