KUCHING - Projek menaik taraf jalan berbatu kepada jalan berturap dari Kampung Kendaie ke Kampung Sedaing-Jalan Biawak di Lundu yang sekian lama dinantikan penduduk dijadual memasuki proses tender pada Jun ini.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, jalan yang menghubungkan Kampung Kendaie ke Kampung Sedaing itu merupakan sebahagian daripada skop Projek Menaiktaraf Jalan Biawak ke Kampung Kendaie di Lundu, Bahagian Kuching.
Menurut beliau, projek tersebut telah diluluskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di bawah bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Datuk Ir Aidel berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Opar, Billy Sujang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Projek berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk setempat terutama dari segi keselesaan perjalanan, keselamatan pengguna jalan raya serta meningkatkan hubungan antara kawasan luar bandar di daerah Lundu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back