KUCHING - Kerajaan Sarawak dengan kerjasama agensi Persekutuan telah berjaya melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan tiga empangan utama iaitu Bakun, Murum, dan Batang Ai.
Operasi yang dimulakan pada 11 Mei ini merupakan langkah proaktif bagi menangani kesan cuaca kering yang menjejaskan paras air di empangan-empangan strategik tersebut.
Pelaksanaan operasi ini telah ditinjau secara langsung oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua.
Beliau hadir bagi memantau koordinasi teknikal antara Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Hasil cerapan radar cuaca sejurus selepas operasi menunjukkan pembentukan awan yang positif dan hujan mula dikesan di kawasan sasaran.
Kejayaan operasi ini dijangka dapat membantu menstabilkan semula paras air di kawasan tadahan, sekali gus menjamin kelestarian bekalan air mentah serta kestabilan penjanaan tenaga hidroelektrik di seluruh negeri Sarawak.
Sumber: fb Malaysian Meteorological Department
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PembenihanAwan #MetMalaysia #TUDM #NADMA #InfoCuaca
Back