KUALA LUMPUR - Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky menegaskan bahawa barisan kejurulatihan tidak akan lagi berkompromi dengan pemain yang berulang kali melakukan kesalahan disiplin meskipun telah diberikan pelbagai teguran dan peluang.
Rexy menyifatkan sikap segelintir pemain yang gagal berubah ibarat "bercakap dengan tembok" dan perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan jika skuad negara mahu mencapai kejayaan.
Beliau menyatakan sokongan padu terhadap teguran legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, dengan menyifatkan disiplin sebagai elemen 10,000 peratus paling penting dalam kerjaya seorang atlet.
Menurut Rexy, pemain perlu sedar akan tanggungjawab mereka sebagai atlet kebangsaan yang membawa imej negara.
Beliau turut membandingkan amalan pasukan profesional luar negara yang mengenakan denda tinggi terhadap pelanggaran disiplin.
Tegasnya, peraturan yang ditetapkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan bertujuan untuk menghukum, sebaliknya menjadi asas utama untuk membantu pemain meraih kejayaan di peringkat tertinggi.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #BadmintonMalaysia #RexyMainaky #BAM #DisiplinAtlet
Back