BAU - Pihak Polis Daerah Bau telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun selepas disyaki melakukan ugutan jenayah terhadap adik perempuannya di Kampung Serikin, pada Isnin 4 Mei.
Ketua Polis Daerah Bau, Pemangku Superintenden Mohd. Haide A. Rahman berkata, suspek ditangkap oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau kira-kira jam 12.00 tengah hari di sebuah pondok kebun hasil maklumat orang awam.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas sebilah parang sepanjang 60 sentimeter bersama sarungnya serta sebuah lampu suluh yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa.
Suspek dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika melakukan ugutan tersebut.
Semakan lanjut menunjukkan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal mendapati suspek tidak terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis menasihatkan masyarakat agar sentiasa menyelesaikan pertikaian secara berhemah dan tidak mengambil tindakan agresif yang melanggar undang-undang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IPDBau #Serikin
Back