KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, secara rasmi menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman beliau berhubung dakwaan kewujudan titah adendum pengampunan diraja.
Tindakan tersebut menyaksikan Najib, 72, kekal menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang. Beliau sebelum ini memohon perintah untuk dipindahkan ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani tahanan rumah sekiranya titah adendum tersebut terbukti wujud.
Firma guaman Tetuan Shafee & Co telah memfailkan notis pemberhentian rayuan itu pada 2 April lalu tanpa menyatakan sebarang alasan.
Susulan itu, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Adilah Mohtar, telah merekodkan notis tersebut dan membatalkan rayuan Najib pada 14 April lepas.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi pada Disember 2025 telah menolak permohonan Najib selepas mendapati titah adendum tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.
Dengan penarikan balik rayuan ini, kemelut undang-undang berhubung isu tahanan rumah tersebut kini dianggap berakhir.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #NajibRazak #SRCInternational #Bernama
Back