MERADONG - Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun selepas didapati positif dadah dalam satu operasi 'Ops Tapis' di sekitar Bintangor, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering dalam satu kenyataan berkata, suspek ditahan kira-kira jam 9.30 pagi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
"Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya.
Semakan lanjut oleh pihak polis mendedahkan bahawa suspek merupakan seorang pesalah berulang yang mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
Kes kini disiasat secara terperinci di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, suspek berhadapan dengan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun.
DSP Tansli Mering menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti dadah di daerah ini.
Beliau turut merayu orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah kepada Balai Polis Bintangor di talian 084-693222 bagi membantu mengekalkan keselamatan komuniti.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRM #Meradong #OpsTapis #SayNoToDrugs
Back