KUCHING: Sarawak akur dengan sebarang keputusan berkaitan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor, termasuk kemungkinan temasya itu ditangguhkan.
Ia susulan cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencadangkan agar temasya itu ditunda sehingga keadaan konflik di Timur Tengah kembali reda.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini belum ada sebarang keputusan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.
Beliau bagaimanapun menjelaskan sukar untuk memberikan komen lanjut kerana Kerajaan Negeri Selangor masih belum memuktamadkan sebarang keputusan.
Namun beliau percaya Kerajaan Selangor bersama Kementerian Belia dan Sukan akan meneliti cadangan tersebut dengan sebaiknya, sebelum membuat keputusan sama ada temasya itu diteruskan atau ditangguhkan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media pada Majlis Perasmian Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke di Kuching, malam tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Sarawak telah membuat persiapan rapi menjelang SUKMA, walaupun terdapat ketidaktentuan mengenai penganjuran temasya itu.
Katanya, Sarawak telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi persiapan kontinjen.
Selain itu, lawatan ke semua sembilan daerah di Selangor juga telah dilakukan bagi mengenal pasti lokasi penginapan untuk kontinjen Sarawak.
Ini kerana acara-acara sukan yang dipertandingkan bukan hanya tertumpu di Shah Alam, sebaliknya turut diadakan di pelbagai lokasi.
Beliau mengakui kecewa sekiranya penangguhan berlaku, namun menegaskan keputusan akhir tetap terletak pada pihak berkuasa berkaitan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back