KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan bagi Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) DUN Tanjong Datu, Fasa 1 bagi tahun 2026 di Kuching hari ini.
Katanya, mesyuarat itu adalah bagi memastikan pelaksanaan bantuan perumahan rakyat berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga memperincikan status permohonan, memantau kemajuan kerja di lapangan serta menangani sebarang isu teknikal.
Menurut beliau, ia penting bagi menjamin kualiti pembinaan serta memastikan agihan bantuan dilaksanakan secara adil kepada golongan sasar, khususnya penduduk luar bandar.
Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Lundu (MDL).
Azizul memberitahu Kerajaan Sarawak kekal komited dalam usaha memperkasakan taraf hidup rakyat melalui penyediaan kediaman yang lebih selesa dan selamat, terutamanya bagi masyarakat di kawasan luar bandar.
Melalui kerjasama erat antara pejabat perwakilan rakyat dan agensi pelaksana, pelaksanaan PPRMS Fasa 1 bagi tahun 2026 diharap dapat disiapkan mengikut tempoh yang dirancang demi kesejahteraan komuniti di DUN Tanjong Datu.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back