KUCHING - Kira-kira 714,000 pengguna domestik di seluruh Sarawak bakal menikmati diskaun bil elektrik sebanyak 25% bermula bulan ini sehingga Disember 2026.
Inisiatif yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ini bertujuan meringankan beban kewangan rakyat susulan tekanan ekonomi global. Diskaun ini akan diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang pendaftaran atau permohonan.
Bagi bil bulan April 2026, potongan tersebut akan dipaparkan secara terkumpul di dalam bil bulan Jun 2026. Manakala bagi bulan-bulan seterusnya, diskaun akan terus dipaparkan dalam bil bulanan masing-masing.
Sarawak Energy turut menasihati pelanggan yang menerima bil anggaran (estimated bill) untuk menghubungi mereka bagi memastikan kadar diskaun adalah tepat berdasarkan penggunaan sebenar.
Pelanggan boleh menghantar gambar meter dan bil anggaran melalui aplikasi SEB Cares, agen virtual CARINA, atau e-mel kepada pihak Sarawak Energy untuk penyelarasan.
Langkah ini merupakan sokongan penuh Sarawak Energy terhadap usaha Kerajaan Sarawak dalam menangani kos sara hidup isi rumah di negeri ini.
Sumber: Sarawak Energy
#BilikBeritaCATS CATSFM #Umobile #SarawakEnergy #DiskaunElektrik #SebCares
Back