LUNDU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, merasmikan Dewan Masyarakat Kampung Rambungan semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Sampadi di Dewan Masyarakat Kampung Rambungan, malam tadi.
Perasmian dewan berkenaan dilihat sebagai satu lagi usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur bagi kegunaan penduduk setempat, khususnya dalam menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Azizul berkata penyediaan kemudahan seperti dewan masyarakat amat penting dalam merapatkan hubungan komuniti serta menyokong pelaksanaan program pembangunan di kawasan Tanjong Datu.
Katanya, dewan tersebut diharap menjadi pusat aktiviti masyarakat yang mampu menyatukan penduduk serta menjadi platform kepada pelbagai program yang memberi manfaat kepada komuniti.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran lebih 350 penduduk pelbagai kaum yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh di kawasan itu.
Dalam pada itu, seramai 23 individu menerima Anugerah Khas sebagai penghargaan atas sumbangan mereka kepada masyarakat, melibatkan peranan sebagai imam, pemimpin komuniti serta wakil wanita dan pemuda.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup; Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail; Pemanca Jumahdi Sabian; Penghulu Zon Sampadi, Sarkawi Nawi; serta ketua-ketua kaum dan masyarakat Zon Sampadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #UMobile
Back