Kuching – Seramai 40 pelajar program asasi Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, semalam mengadakan kunjungan ke Perkampungan Digital TEGAS bagi meneroka ekonomi digital masa depan.
TEGAS dalam satu kenyataan menyifatkan kunjungan tersebut sebagai usaha memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pusat inovasi digital di negeri ini.
Ia sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan di Sarawak.
Lawatan itu turut mengetengahkan pelbagai inisiatif TEGAS kepada para pelajar, termasuk pengenalan kepada fasiliti yang terdapat di perkampungan itu serta sesi perkongsian bersama pengasas syarikat pemula yang mendapat sokongan TEGAS.
Sesi perkongsian berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai dunia kerjaya, di samping menyediakan platform untuk bertukar idea berkaitan pembangunan bakat.
Ia juga menjadi persediaan kepada pelajar universiti berkenaan dalam menghadapi keperluan ekonomi digital yang berkembang pesat pada masa hadapan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back