KUCHING - Peranan Pelabuhan Bintulu semakin kritikal, ketika Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor industri dan tenaga yang berdaya saing.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelabuhan itu bukan sekadar memudahkan perdagangan, malah turut membentuk masa depan kaedah perdagangan negeri ini.
Beliau menyifatkannya sebagai nadi ekonomi Sarawak yang menghubungkan negeri ini dengan pasaran global.
Sehubungan itu, kepentingan pelabuhan itu dijangka akan terus meningkat.
Justeru, beliau menegaskan bahawa pelabuhan tersebut perlu untuk terus berevolusi dari segi kapasiti dan keupayaan operasi.
Ia termasuk mewujudkan kerangka tadbir urus bersepadu, memperkukuh perancangan serta memastikan keseragaman di semua pelabuhan di Sarawak.
Langkah itu selaras dengan visi untuk membangunkan ekosistem pelabuhan negeri secara menyeluruh.
Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah menubuhkan Lembaga Pelabuhan Sarawak (SarPA), bagi menyelaras operasi semua pelabuhan di negeri ini.
Tujuannya bagi memastikan rangkaian pelabuhan yang lebih bersatu dan cekap dalam usaha memastikan Sarawak terus berkembang maju.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-30 Pelabuhan Bintulu Berhad, di Kuching, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back