KUCHING – Gaya hidup tanpa tunai kini semakin menjadi norma di Sarawak apabila aplikasi S PAY GLOBAL muncul sebagai pilihan utama rakyat untuk urusan harian yang lebih pantas dan mudah.
Dibangunkan sejak 2017 sebagai SarawakPay sebelum dijenamakan semula, aplikasi ini kini menjadi antara pemacu utama pendigitalan kewangan negeri, termasuk sebagai saluran penyaluran bantuan kerajaan.
Dengan hanya satu aplikasi, pengguna boleh bayar bil, pindah wang, beli-belah dan imbas kod QR, tanpa perlu beratur atau membawa wang tunai.
Pengguna, Kelvin Liew, berkata aplikasi itu memudahkannya mengurus komitmen bulanan seperti bil utiliti dan telco dengan lebih teratur. Manakala Azureen Abdul Kadir menyifatkan pembayaran QR sebagai lebih praktikal, cepat dan selamat.
Kini dengan 1.6 juta pengguna berdaftar, S PAY GLOBAL terus memperluas capaian termasuk ke kawasan luar bandar, selain menyokong ekonomi digital dan perniagaan tempatan melalui integrasi seperti DuitNow dan UnionPay.
Aplikasi ini bukan sekadar alat pembayaran, tetapi simbol transformasi digital Sarawak ke arah masa depan tanpa tunai.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back