Kuching – Dasar peralihan tenaga yang dirangka awal oleh Sarawak membuktikan visi jauh ke hadapan negeri ini dalam memastikan keselamatan serta kelestarian sumber tenaga.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, konflik geopolitik di Timur Tengah serta krisis di Ukraine telah mempercepatkan kesedaran global terhadap kepentingan penggunaan tenaga alternatif.
Menurut beliau, Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk menerajui agenda tersebut, disokong oleh kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki negeri ini.
Antara potensi utama termasuk tenaga hidro dan solar, selain pembangunan bahan api masa depan seperti hidrogen hijau dan metanol.
Bagaimanapun, Sarawak turut tidak terkecuali daripada cabaran tenaga global.
Sehubungan itu, dasar peralihan tenaga yang dilaksanakan secara berfasa memberi tumpuan kepada pengurusan dan penggunaan tenaga yang lebih cekap serta efisien.
Proses peralihan tersebut melibatkan tiga fasa dan dijangka mengambil tempoh antara 10 hingga 15 tahun, sebelum peralihan besar-besaran kepada tenaga hijau dapat direalisasikan.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back