KUCHING - Sambutan Hari Raya Aidilfitri seharusnya dijadikan peluang untuk mengukuhkan hubungan sesama manusia, memupuk nilai belas kasihan, dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, menegaskan bahawa Aidilfitri bukan sekadar perayaan kegembiraan, tetapi juga saat yang bermakna untuk bersyukur dan saling memaafkan antara satu sama lain.
Beliau menambah bahawa dalam suasana perayaan, masyarakat diingatkan mengenai kepentingan toleransi, hormat-menghormati, dan semangat kesepaduan dalam kehidupan seharian.
“Di Sarawak, kita hidup dalam masyarakat plural yang merangkumi pelbagai kaum, agama dan budaya. Keunikan ini adalah kekuatan yang mesti kita pelihara bersama,” katanya dalam perutusan khas Hari Raya Aidilfitri 2026.
Datuk Amar Awang Tengah menegaskan bahawa semangat perpaduan, keharmonian dan saling memahami menjadi asas penting untuk memastikan Sarawak terus maju dan makmur.
Beliau menyeru semua pihak menjadikan Aidilfitri sebagai peluang memperkukuh ikatan persaudaraan, bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga merentas semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Dengan semangat kesepaduan dan kebersamaan, rakyat dapat menyumbang secara kolektif kepada kemajuan dan kesejahteraan Sarawak,” tambah beliau.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back