KUCHING - Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk rakyat Sarawak menilai kedudukan negeri serta mempertahankan haknya sebagai rakan pengasas Persekutuan Malaysia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata Aidilfitri yang menandakan permulaan Syawal turut membawa mesej perpaduan, kemaafan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Menurut beliau, kekuatan Sarawak terletak pada perpaduan dan kepelbagaian yang menjadi asas keharmonian, selari dengan semangat segulai sejalai yang menekankan kebersamaan dalam membina masa depan.
“Di Sarawak, semangat kebersamaan ini jelas apabila rakyat pelbagai kaum dan agama saling mengunjungi, berkongsi juadah dan meraikan perayaan sebagai satu keluarga besar.
“Sambutan ini bukan sahaja masa untuk bergembira dan bermaafan, tetapi juga ruang untuk kita merenung siapa kita, dari mana kita datang dan apa yang perlu kita pertahankan,” katanya dalam perutusan khas sempena Aidilfitri 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak merupakan antara rakan pengasas Malaysia, dan kedudukan serta autonomi negeri ini termaktub jelas dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus bersatu dalam menyokong usaha memperkukuh hak negeri, kerana kekuatan Sarawak bergantung kepada perpaduan rakyatnya.
“Ini bukan hak yang diberikan oleh mana-mana pihak, tetapi sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia itu sendiri.
“Langkah yang diambil bukan sekadar pentadbiran, tetapi demi keadilan serta memastikan hak Sarawak dikembalikan, demi masa depan generasi akan datang.
“Apabila kita bersatu, suara kita menjadi lebih kuat dan jelas. Justeru, sempena musim perayaan ini, marilah kita memperkukuh perpaduan dan berdiri teguh bersama kepimpinan negeri,” katanya.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back