KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan ketika ini adalah memberi tumpuan kepada langkah jangka pendek bagi memastikan kestabilan ekonomi negara, sambil memantau rapat perkembangan konflik yang boleh memberi kesan kepada Malaysia.
Menurutnya, kerajaan masih menilai situasi semasa memandangkan belum dapat dipastikan sama ada krisis di Timur Tengah akan berpanjangan atau sebaliknya.
“Jika konflik ini tidak berlanjutan, maka tiada keperluan untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Penglibatan Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan bekalan petroleum negara masih terkawal dan mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei, berdasarkan semakan bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Kerajaan juga mengambil kira peningkatan permintaan bahan api ketika musim perayaan, dengan syarikat minyak bersedia mengambil langkah proaktif termasuk menambah stok bekalan dan kapasiti tangki simpanan di kawasan berpermintaan tinggi.
Dalam masa sama, Datuk Seri Amir berkata kerajaan kini menanggung subsidi bahan api sekitar RM3.2 bilion sebulan, meliputi RM2 bilion subsidi petrol dan RM1.2 bilion subsidi diesel, meningkat berbanding RM700 juta sebelum ini.
Konflik di Asia Barat tercetus pada 28 Februari lalu apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, sebelum Tehran membalas dengan serangan peluru berpandu dan dron terhadap kepentingan AS serta sekutunya di rantau itu.
Ketegangan tersebut turut memberi kesan kepada pasaran tenaga global, khususnya di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia, sekali gus menyebabkan harga minyak global menjadi tidak menentu.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back