KOTA KINABALU – Kerajaan menanggung subsidi sekitar RM2 bilion setiap bulan bagi memastikan harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter, walaupun harga minyak mentah dunia melonjak akibat krisis geopolitik global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah di bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 itu dijangka melibatkan subsidi sehingga RM24 bilion setahun, sebagai usaha kerajaan mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Beliau turut memaklumkan kerajaan terus menanggung subsidi diesel di Sabah dan Sarawak pada harga RM2.15 seliter, walaupun kos sebenar mencecah sekitar RM4.30 seliter.
Tahun ini sahaja, kerajaan dijangka menanggung RM4.6 bilion setahun bagi subsidi diesel di kedua-dua negeri tersebut berikutan kenaikan harga minyak dunia.
Menurut Anwar, lonjakan harga minyak global berpunca daripada krisis di Asia Barat yang turut memberi kesan kepada rantaian bekalan antarabangsa, termasuk penutupan laluan perdagangan penting seperti Selat Hormuz, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan dan insurans.
Walaupun berdepan cabaran luar, beliau menegaskan Malaysia masih kekal stabil dan aman, sambil mengingatkan rakyat supaya menjadi pengguna bijak, mengelakkan perbelanjaan berlebihan serta mengamalkan kesederhanaan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back