PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan berusaha sedaya mungkin mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat, meskipun harga minyak global meningkat mendadak.
Dalam ucapan beliau pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini, Anwar berkata, “Harga Brent kini mencecah 100 dolar Amerika satu tong, tetapi kita masih bertahan dengan RM1.99 untuk RON95 dan akan jalankan ikhtiar maksimum supaya tidak membebankan rakyat.”
Beliau menegaskan bahawa ketetapan harga RON95 rendah ini disokong melalui subsidi bersasar, sekaligus memastikan kestabilan kos sara hidup rakyat di negara ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, situasi geopolitik global turut menjadi perhatian, khususnya konflik antara Iran dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang bermula 28 Februari lepas.
Serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di Teluk berlaku tanpa menutup Selat Hormuz, laluan strategik bagi pengangkutan gas dan minyak dunia, menurut Timbalan Menteri Luar Iran, Saeed Khatibzadeh.
Ketegangan di Timur Tengah ini berpotensi memberi impak terhadap pasaran tenaga global, namun kerajaan menekankan langkah berjaga-jaga dan pemantauan rapi bagi memastikan bekalan dan harga minyak domestik kekal terkawal.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back