KUCHING - Isu pendidikan dan kesihatan menjadi fokus utama dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 pada 2 Mac lalu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mesyuarat yang turut dihadiri wakil kerajaan negeri Sarawak dan Sabah itu telah mencapai beberapa persetujuan penting, namun keputusan rasmi hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mesyuarat ini peringkat teknikal. Perkara dipersetujui akan dibawa ke peringkat tertinggi untuk pengesahan. Apabila disahkan, baru kita boleh umum. Mesyuarat bersama Perdana Menteri biasanya diadakan dua kali setahun dan dijangka antara Mei atau Jun,” kata Fadillah selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan zakat dan pek makanan di sini.
Mesyuarat ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi Persekutuan serta kerajaan negeri berkaitan isu-isu belum selesai dan hala tuju tindakan yang boleh diambil.
Kerajaan Persekutuan diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah & Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud bersama beberapa menteri lain, manakala Sarawak diwakili ketiga-tiga Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Hui Hian. Sabah pula diwakili tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Ewon Benedick.
Dengan fokus pada pendidikan dan kesihatan, mesyuarat ini dijangka menjadi langkah penting dalam memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 serta memastikan kesejahteraan rakyat Sabah dan Sarawak terus terjaga.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back