Petaling Jaya – Kumpulan AFFIN dan MBSB Bank Berhad menyatakan komitmen bersama dengan menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion, bagi menyokong pengambilalihan lebih 50 peratus pegangan kawalan U Mobile Sdn Bhd oleh Mawar Setia Sdn Bhd.
Berdasarkan perjanjian itu, Kumpulan AFFIN menyediakan komitmen terbesar iaitu sebanyak RM2.4 bilion, manakala MBSB Bank Berhad menyumbang RM1.4 bilion.
Sebahagian daripada dana tersebut akan digunakan untuk membiayai pembelian saham oleh Mawar Setia daripada Straits Mobile Investments Pte Ltd.
Pengambilalihan itu dijangka meningkatkan pegangan pemilikan tempatan dalam U Mobile dengan mengurangkan kepentingan asing.
Ia sekali gus mengukuhkan penyertaan domestik U mobile, sebagai pengendali utama perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pembiayaan berkenaan akan memperkukuh kapasiti infrastruktur digital Malaysia dalam jangka panjang.
Selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28) pihaknya akan terus menyokong pembangunan ekosistem digital yang selamat dan berskala demi masa depan negara.
Transaksi itu menyerlahkan lagi peranan berterusan Kumpulan AFFIN dan MBSB Bank, dalam menyokong sektor strategik melalui penstrukturan pembiayaan yang berdisiplin serta peruntukan modal secara berhemat.
Ia secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan korporat yang mampan dan kemajuan ekonomi jangka panjang negara.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back