KUCHING - Kerajaan Sarawak mencipta sejarah apabila buat julung kalinya menyalurkan insentif kepada semua atlet pemenang dari 14 negeri yang menyertai temasya sukan di negeri ini tahun lalu, menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah.
Sebelum ini, insentif lazimnya hanya diberikan kepada atlet Sarawak sahaja, namun pendekatan baharu ini memperlihatkan komitmen kerajaan negeri terhadap prinsip keterangkuman, termasuk layanan sama rata antara atlet normal, atlet kurang upaya, dan atlet dari negeri lain.
“Insentif yang diberi adalah sama rata mengikut kategori pingat iaitu emas, perak dan gangsa, tanpa mengira negeri. Jumlah keseluruhan insentif adalah RM399,000,” katanya selepas Majlis Penyampaian Insentif dan Anugerah sempena SOPMA XXII Sarawak 2025 di sini pada Sabtu.
Seramai 20 atlet Sarawak turut menerima insentif berdasarkan pencapaian masing-masing, manakala pengagihan kepada negeri lain ditentukan mengikut bilangan pingat yang dimenangi.
Dato Sri Fatimah berharap inisiatif itu dihargai persatuan dan atlet dari negeri lain sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian mereka.
Tambahnya, langkah ini juga memperlihatkan usaha kerajaan Sarawak memperkasakan pembangunan sukan secara adil dan inklusif, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menjelang 2030.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back