KUCHING – Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) memperkukuh penyelarasan dan kerjasama strategik bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) menerusi Sesi Taklimat Perancangan Pembangunan di Menara Sarawak Energy, hari ini.
Pengerusinya, Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata sesi taklimat berkenaan merupakan platform penting untuk memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan selaras dengan hala tuju pembangunan Bahagian Sri Aman.
Menurut beliau, sesi tersebut diadakan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA Bil. 3/2025 yang mengarahkan penyelarasan awal bersama SEB, terutama dalam aspek perancangan pembangunan dan potensi pelancongan di sekitar Empangan Batang Ai.
Pendekatan ini penting bagi mengelakkan pertindihan projek serta memastikan setiap inisiatif yang dirancang saling melengkapi antara satu sama lain.
Beliau turut menegaskan komitmen SADA dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara holistik dan mampan, dengan memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti setempat serta pemeliharaan alam sekitar.
Dato Sri Rohani berkata melalui kerjasama strategik bersama SEB dan agensi-agensi berkaitan, beliau berharap potensi sosioekonomi di kawasan Empangan Batang Ai dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Turut hadir ialah ADUN Batang Ai, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back