MIRI - Kerajaan Sarawak tidak akan membuat sebarang keputusan atau spekulasi awal berhubung insiden kebocoran gas di tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Tudan, sebaliknya menunggu hasil kajian teknikal serta rekomendasi rasmi daripada semua agensi berkaitan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato’ Sri Lee Kim Shin, berkata insiden itu dikesan pada Jumaat ketika kerja cerucuk untuk pembinaan kantin baharu, di mana dua lubang cerucuk sedalam kira-kira 33.6 meter dan 33.9 meter mengeluarkan gas secara tiba-tiba.
Beberapa agensi, termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Residen, Pejabat Daerah Miri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan PETROS Sarawak, telah berada di lokasi bagi menangani kejadian tersebut. Pemeriksaan awal PETROS mengesahkan gas berkenaan bukan berpunca daripada kebocoran paip gas, manakala pasukan Hazmat JBPM mengesahkan gas itu bersifat mudah terbakar.
Siasatan lanjut kini dijalankan oleh Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains, termasuk pengujian bahan lain seperti toluena, aseton, dan hidrogen sianida.
Semua kerja pembinaan dihentikan sementara, dengan pemantauan berterusan dijalankan bagi memastikan keselamatan murid dan pekerja di tapak.
Dato’ Sri Lee menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat mengenai pemindahan sekolah atau pembinaan, dan sebarang tindakan akan mengambil kira nasihat keselamatan daripada JBPM serta agensi berkaitan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelantikan dan Jamuan Makan Tengah Hari Anugerah ke-64 JCI Miri 2026 di sebuah hotel di Miri, petang tadi.
Sumber: UKAS
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back